Friday, 31 December 2010

KEBITARAAN BAHASA ARAB

RINGKASAN EKSEKUTIF

         Kebitaraan Bahasa Arab merupakan satu program yang dirangka bagi memperkayakan tahap penguasaan pelajar terhadap mata pelajaran Bahasa Arab di samping memberi peluang kepada pelajar mengaplikasikan ilmu yang dipelajari dalam kehidupan seharian. Ini secara tidak langsung dapat memberi peluang kepada pelajar untuk berkomunikasi di dalam Bahasa Arab sebagai bahasa yang tidak kurang pentingnya pada masa kini. Kebolehan berkomunikasi dalam Bahasa Arab melahirkan pelajar yang lebih bersedia dalam menempuh cabaran di peringkat  pengajian tinggi, dalam bidang kerjaya dan seterusnya dalam menghadapi cabaran globalisasi yang semakin menguji tahap keintelektualan seseorang.

         Program di bawah kebitaraan Bahasa Arab ini akan dilaksanakan dengan anggaran belanja sebanyak RM 25,000.00. Diharapkan dengan adanya program atau aktiviti yang bermafaat ini dapat menambah lagi minat pelajar mempelajari Bahasa Arab dan melahirkan pelajar yang boleh berkomunikasi di dalam Bahasa Al-Quran ini disamping Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu seterusnya dapat menjana minda pelajar yang lebih kreatif dan kritis. Usaha yang dilaksanakan secara berterusan mampu melahirkan generasi yang boleh bertutur dalam pelbagai bahasa demi menyediakan negara ke arah globalisasi dan melahirkan pemimpin yang serba boleh.

LATAR BELAKANG

         Seiring dengan harapan kerajaan untuk melahirkan modal insan yang berkualiti terutamanya dalam bidang akademik, SKSS1 telah menetapkan beberapa sasaran untuk meningkatkan pencapaian yang cermelang dalam penguasaan Bahasa Arab. Kebolehan menguasai  pelbagai bahasa dapat membantu melahirkan individu yang lebih berdaya saing dalam arena pekerjaan dan perhubungan antarabangsa.