Photobucket

Wednesday, 10 August 2011

PROGRAM MINGGU BAHASA ARAB 2011


Program Minggu Bahasa Arab 2011 anjuran Jawatankuasa Kluster Bahasa Arab telah dijalankan pada 17, 18, 21 dan 26 Julai baru-baru ini. Pelbagai program dan aktiviti yang telah dirancang dilaksanakan dengan jayanya melibatkan semua murid tahun 1 hingga tahun 6 SK Sultan Sulaiman 1.


Antara aktiviti yang dilaksanakan termasuklah aktiviti Senamrobik dan A’doul jismi untuk murid Tahun 2, permainan Jismi Nazif untuk murid tahun 3, permainan Hadiqatul Huruf dan Mushahadatul CD  untuk murid tahun 1, Lu’bah untuk murid Tahun 4, program Hayya Nadrus Allughotal ‘Arabiyyah untuk murid Tahun 4, 5 6 dan program bersama Mudarrisin A’rabiyyin bersama murid tahun 4, 5 dan 6.

Monday, 8 August 2011

SK SULTAN SULAIMAN 1 KEKAL JUARA KALI Ke-2

SK Sultan Sulaiman 1 berjaya mengekalkan kejuaraan pada kejohanan Taekwondo terbuka jemputan SK Sultan Sulaiman 1 kali ke dua bagi kategori sekolah rendah yang berlangsung pada 29 dan 30 Julai 2011.


      Kejohanan anjuran SK Sultan Sulaiman 1dengan kerjasama Kelab Taekwondo Teguh (KTT) dan Kelab Taekwondo Action ini menyaksikan lebih 800 peserta dari seluruh sekolah rendah dan menengah di Negeri Terengganu mengambil bahagian.

      Pungutan enam emas, lima perak dan 12 gangsa terus meletakkan SK Sultan Sulaiman 1 sebagai juara bertahan, tempat kedua disandang SK Pusat Chabang Tiga dan tempat ketiga menjadi milik SK Teluk Menara.


Wednesday, 3 August 2011

Jasamu Dalam Kenangan

Majlis persaraan Haji Kamaruddin bin Chik telah diadakan pada 28 Julai 2011 bertempat di Dewan Sulaiman SKSS1. Cikgu Kamaruddin telah diarak dengan menaiki kereta kuda bersama paluan kompang dan bunga manggar sempena persaraan beliau.

Kemudian, majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah dan cenderahati tanda kenangan dan penghargaan atas sumbangan serta jasa beliau kepada sekolah. Selepas majlis selesai, beliau telah diarak keluar dari dewan menaiki kereta kuda dan seterusnya hingga ke kereta khas yang telah disediakan untuk dihantar pulang. Sebelum pulang beliau bersama isterinya diarak menuju ke Primula Hotel untuk jamuan perpisahan buat kali terakhir dengan diiringi rombongan para guru. Sebelum itu beliau sempat membuat lambaian terakhir kepada para pelajar yang disayanginya.



Monday, 11 July 2011

PERASMIAN GALERI SULAIMAN, SK SULTAN SULAIMAN

Pada tarikh 11.07.2011 (SELASA) Galeri Sulaiman telah dirasmikan pembukaannya oleh Datuk Haji Isa bin Haji Abu, Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pelajaran Malaysia pada jam 11.45 pagi. Turut mengiringi beliau ialah En. Zulkernai bin Fauzi (Ketua Penolong Pengarah SPPra, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pelajaran Malaysia),En. Hashim bin Mohd Zin (Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu), En. Zakariah bin Ali (Ketua Sektor SPS, Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu),En. Mohamad Nawawi bin Rani (Ketua Unit Perhubungan, Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu) dan En. Matsor bin Ismail (PPD Kuala Terengganu).


Wednesday, 6 July 2011

PROGRAM EXPLORACE "HAPUS AEDES CEGAH DENGGI" SEMPENA SAMBUTAN HARI DENGGI ASEAN PERINGKAT NEGERI TERENGGANU 2011

Pada 06.07.2011 (RABU) pihak Jabatan Kesihatan Daerah Kuala Terengganu dengan kerjasama Majlis Bandaraya Kuala Terengganu telah mengadakan Program Explorace "Hapus Aedes Cegah Denggi" bertempat di Dewan Sulaiman, SK Sultan Sulaiman 1, 20300 Kuala Terengganu. Program ini diadakan bersempena dengan Sambutan Hari Denggi Asean Peringkat Negeri Terengganu 2011 yang akan diadakan pada 16.07.2011 bertempat di Dewan Sivik, Pasir Panjang yang akan dirasmikan oleh Menteri Besar Terengganu.


Monday, 20 June 2011

TEMU MURNI KALI KETIGA OTI 2 TAHUN 6

Majlis Temu Murni kali ketiga bagi OTI 2 ibu bapa Tahun 6 telah diadakan pada 20.06.2011 (ISNIN) bertempat di Dewan Sulaiman, SK Sultan Sulaiman 1. Pertemuan dengan ibu bapa Tahun 6 adalah diharapkan membina satu permuafakatan yang erat antara guru-guru dan ibu bapa bagi mendorong dan membantu murid-murid yang akan menduduki peperiksaan UPSR 2011 nanti. Perjumpaan ini juga memberi maklumbalas tentang keputusan ujian OTI 2 baru-baru ini.


Objektif majlis ini adalah seperti berikut :-

1. Menjalinkan hubungan yang erat antara pihak sekolah dengan ibu bapa demi meningkatkan 
    kecemerlangan UPSR.

2. Mewujudkan kerjasama bagi mengenalpasti aktiviti-aktiviti yang boleh meningkatkan lagi prestasi murid
   dalam UPSR

3. Menambahkan sokongan padu di kalangan ibu bapa terhadap anak-anak yang akan menduduki UPSR

Sunday, 19 June 2011

SEHARI BERSAMA BOMBA DAN PENYELAMAT MALAYSIA(TERENGGANU)

Pada tarikh 16.06.2011 (Khamis) pihak sekolah dengan kerjasama Bomba Dan Penyelamat Malaysia (Terengganu) telah mengadakan Program Sehari Bersama  Bomba Dan Penyelamat Malaysia bertempat di SK Sultan Sulaiman 1. Dalam program ini pihak bomba diketuai oleh En. Razak dari Pejabat Balai Bomba Daerah bersama 4 orang anggotanya dan seorang dari Balai Bomba Negeri yang menguruskan pameran.