Pada 06.07.2011 (RABU) pihak Jabatan Kesihatan Daerah Kuala Terengganu dengan kerjasama Majlis Bandaraya Kuala Terengganu telah mengadakan Program Explorace "Hapus Aedes Cegah Denggi" bertempat di Dewan Sulaiman, SK Sultan Sulaiman 1, 20300 Kuala Terengganu. Program ini diadakan bersempena dengan Sambutan Hari Denggi Asean Peringkat Negeri Terengganu 2011 yang akan diadakan pada 16.07.2011 bertempat di Dewan Sivik, Pasir Panjang yang akan dirasmikan oleh Menteri Besar Terengganu.
Pemilihan SK Sultan Sulaiman 1 sebagai tempat program ini dijalankan untuk peringkat daerah Kuala Terengganu amatlah dialu-alukan. Dalam program ini melibatkan seramai 80 orang murid Tahun 5 dan dipecahkan kepada 16 kumpulan. Dalam explorace ini setiap kumpulan murid diminta mencari dan mengumpulkan bekas-bekas sisa makanan yang dapat menakung air. Semakin banyak bekas dapat dikumpul semakin banyaklah markah yang didapati. Markah bonus diberikan sekiranya bekas yang dikumpul itu mengandungi air dan juga jentik-jentik. Semua pemenang akan diberikan hadiah.
Di samping itu, dalam program ini juga diadakan pameran Hapus Aedes Cegah Denggi oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.Pameran ini bertujuan memberi pendedahan dan pengetahuan kepada semua murid supaya menjaga kesihatan terutamanya di kawasan rumah dengan tidak mendedahkan bekas-bekas yang dapat menakung air untuk pembiakan nyamuk aedes. Ini adalah kerana nyamuk aedes membawa kuman yang menyebabkan Demam Denggi yang merbahaya itu.
Program ini diharap dapat memberikan pengetahuan kepada murid tentang pentingnya menjaga bekas- bekas yang dapat menakung air supaya tidak terdedah yang memudahkan pembiakan nyamuk aedes. Terima kasih kepada Jabatan Kesihatan Daerah Kuala Terengganu dan juga Majlis Bandaraya Kuala Terengganu kerana penganjuran bersama program ini. Harapan juga agar di masa depan program seperti ini dapat diteruskan lagi.
No comments:
Post a Comment